Sunday, 14 November 2010

Persis Sungai Yang Mengalir


Mataku tidak berkerlip memandang ke arah sungai yang tenang. Dari jendela kamar lantai rumahku, kelihatan sungainya begitu tenang. Kadang-kadang burung yang kecil hinggap di sana dan terbang kembali entah ke mana arah tujunya.
Sering kali aku tertanya-tanya apa yang ada di benak fikiran burung-burung itu? Kadang-kadang terbang sekawan dan kadang-kadang berseorangan. Mungkin tidak ada apa yang difikirkan hanya terbang dan makan bagi meneruskan kehidupan. Mereka sering ke sungai itu dan sungai itu memberikan mereka kehidupan.
Alunan Hidupnya
Sungai yang sudah lama meneruskan kehidupannya di sana. Dan sudah banyak riwayat tertulis di atasnya. Sehingga kini sungai itu masih lagi mengalir tanpa henti tidak kira ke mana haluannya, dan ia dilihat begitu deras. Aku tidak pernah ke sungai, dan persahabatan kami hanyalah dari jarak yang jauh. Sering aku mendengar sungai itu mengeluarkan bunyi. Seolah manusia yang sedang berkata-kata.
"Pesanan apa yang hendak kusampaikan padamu sungai? Nyata aku tidak punya apa-apa pesan yang ingin kutitipkan. Aku cuma merasakan diriku sama sepertimu, mengalir tenang di atas pandanganku. Pesanan apa yang kau ingin aku sampaikan? Kau sungai seperti diriku yang mengalir di alur kita masing-masing. Bezanya aku di sini hanya mengalir di sebatang jalan ini; jalan sungai. Sudah ratusan tahun aku menjalani alur ini."
Umpama Sungai yang Mengalir
Tamsilannya adalah seperti sungai, jika masih ada antara kita kecewa, putus asa dan sedikit berduka masih belum dapat apa yang terbaik dan yang diimpikan, jangan berkecil hati. Jangan cepat melambai sapu tangan putih lantas mengaku kalah. Kadang-kadang kita akan diuji sama ada kita benar-benar serius terhadap apa yang kita inginkan.
Ujian akan datang dalam pelbagai bentuk halangan, rintangan dan hal-hal yang membuatkan kita tidak berdaya lagi. Menyerah adalah pilihan yang mudah yang boleh diputuskan oleh sesiapa pun. Tapi, menyerah tanpa melakukan apa-apa tidak akan membuatkan kita jauh lebih baik.
Jangan Berbalik Arah
Saat api padam, mungkin itu adalah saat kita menyatakan kita ingin menyerah kalah. Mari kita belajar dan lihat dari air sungai yang mengalir. Air terus mengalir ke satu arah dan tidak peduli apa yang terjadi. Walau ada sebesar batu yang wujud di tengah-tengah air tidak akan berhenti. Sungai yang deras tidak pernah terfikir untuk berbalik arah. Tidak pernah berhenti untuk mengalir hanya kerana beberapa panahan di hadapannya.
Kita juga boleh belajar daripada prinsip air sungai yang mengalir. Maju ke hadapan demi impian yang ingin dikecapi. Air juga tidak pernah gerun apabila berada di tepi air terjun. Mengalir dan terus mengalir dan semangat yang tidak pernah membuat kita gentar. Semoga air yang mengalir akan mengubah diri kita dan persis yang mudah menyerah kalah. Namun percayalah You don't know what the future holds, but you know Who holds it.

Wednesday, 10 November 2010

Apa Hebatnya Solat Di Awal Waktu?


Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.
Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.
Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.
Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.
Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.
Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.
Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.
Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.
Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.
Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.
Rahsia warna oren ialah kreativiti.
Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).
Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Magrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.
Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.
Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.
Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.
Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.
Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.
Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.
Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.
Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.
Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.
Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.
Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.
Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.
Wallahualam.

Thursday, 4 November 2010

APA ITU SUNNATULLAH


Allah SWT mencipta langit, bumi dan seluruh isinya termasuk manusia. Allah juga mewujudkan peraturan demi untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka bukan sahajadi dunia, bahkan juga di Akhirat, tempat tinggal terakhir buat manusia.
Peraturan atau syariat Allah yang berlaku di bumi tempat tinggal sementara manusia ini, itulah yang dikatakan sunnatullah.
Ia merupakan peraturan dan perjalanan yang Allah Taala telah tetapadi dan peraturkan untuk manusia.
Yang wajib kenalah manusia ikut dan patuhi. Jika manusia tidak patuhi dan menolak sunnatullah itu, pasti manusia rosak dan binasa. Rosak dan binasa itu pasti terjadi di dunia lagi sama ada dalam jangka masa pendek mahupun panjang. 
Apabila kita memperkatakan sunnatullah iaitu satu sistem dan peraturan yang ditentukan oleh Allah Taala buat manusia di dunia ini, ia tidak akan berubah dan tidak ada siapa yang boleh merubahnya sejak Allah Taala wujudkannya hinggalah sampai bila-bila.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah, engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan sunnatullah itu. (Fathir: 43)
Perlu diingat bahawa sunnatullah itu terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama:Manusia menerimanya secara terpaksa
Kedua: Manusia menerima secara sukarela
Firman Allah:
Maksudnya: "Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi tunduk menurut, sama adadengan sukarela atau dengan terpaksa." (Ar Ra'd: 15)
1. Secara terpaksa (karhan)
Sunnatullah yang pertama, manusia terpaksa menerimanya secara terpaksa (karhan).
Di antaranya seperti:
– Jika manusia ingin bernafas, Allah sudah tentukan dengan udara bukan dengan air dan lain-lain.
– Bernafas melalui hidung bukan melalui mata dan lainlainnya.
– Makan dan minum melalui mulut bukan melalui dubur dan lain-lain jalan.
– Berjalan menggunakan kaki bukan melalui tangan dan lain-lain.
– Kalau mahu rehat dan untuk memulihkan kesegaran kenalah tidur dan rehat, bukan melalui bermain atau panjat pokok dan lain-lain.
Begitulah keadaannya. Banyak contoh-contoh lain lagi yang tidak perlu disebutkan di sini. Kiaskan sahaja.
2. Secara sukarela (tau'an)
Sunnatullah yang kedua ialah Allah Taala membuat peraturan sebagai sunnatullah yang tidak akan diubahi seperti:
– Makan dan minumlah yang halal seperti nasi dan air mineral, jangan makan dan minum yang haram seperti daging babi dan arak.
– Inginkan perempuan kenalah berkahwin. Jangan berzina.
– Inginkan kaya, berusahalah secara halal seperti berniaga,bertani dan berternak. Jangan mencuri, jangan menipudan jangan rasuah.
– Jika inginkan keselamatan negara dan masyarakat, kenalah mengguna hukum Allah Taala yang berdasarkan AlQuran dan Sunnah.
– Kalau mahu kehidupan di bidang ekonomi berjalan sihat,tidak ada penipuan dan penindasan, tolaklah sistem riba,monopoli dan memperniagakan yang haram.
– Jika mahu kehidupan manusia seimbang agar terjamin kebahagiaan dan keharmonian, bangunkanlah kehidupanyang bersifat material dan juga pembangunan rohaniah.Demikianlah beberapa contoh. Terlalu banyak lagi. Kiaskan sahaja.
Kedua-dua sunnatullah itu sama ada yang bersifat terpaksa(karhan) mahupun bersifat sukarela atau pilihan (tau'an) atau ada usaha memilih untuk melaksanakannya, kalau dilanggar atau tidak dipatuhi, pastilah manusia akan binasa di dunia ini sebelum binasa di Akhirat kelak. Sebab-sebab manusia menolak itu mungkin kerana manusia itu mahu buat peraturan sendiri sebab tidak puas hati dengan peraturan Tuhan itu. Maka mereka pun membuat sunnah sendiri.
Sunnatullah yang pertama, tidak ada manusia yang menentang atau menolaknya. Semua orang boleh menerimanya kerana dari pengalaman manusia, mereka boleh menerima dengan penuh suka dan puas hati. Tidak ada yang terasa berat menerimanya. Bahkan tidak ada yang merasa inferiority complex menerimanya. Semua menerimanya dengan berpuas hati dan senang hati. Tidak ada yang merasakan kolot, ketinggalan zaman,out of date. Tidak ada yang mengatakan, "Ia sudah ketinggalan zaman,semenjak Nabi Allah Adam lagi manusia bernafas dengan udara.Sudah terlalu lama, sudah kolot. Inikan zaman sains dan teknologi,zaman IT canggih, tidak sepatutnya kita bernafas dengan udara lagi. Patut kita bernafas dengan air. Patut kita ubah rasa." Tiada manusia yang mengatakan begitu.
alt
Mengapa manusia boleh menerima bahkan berpuas hati dengan sunnatullah yang pertama iaitu yang bersifat karhan?
Mengapa tidak ada mempertikainya?
Mengapa tidak terasa kolot menggunakan peraturan yang sudah terlalu lama itu?
Manusia boleh menerimanya kerana kalau melanggar sunnatullah itu risikonya besar dan cepat sekali rosak binasa hingga boleh membawa mati. Bahkan sudah ramai yang mati disebabkan air. Cubalah bernafas dengan air! Bolehkah hidup? Bolehkah bernafas? Sudah tentu tidak boleh. Kalau diteruskan juga, masa itu juga binasa. Jadi oleh kerana kalau melanggar sunnatullah yang pertama,yang bersifat terpaksa itu (karhan), manusia akan cepat menerima risikonya, maka tidak adalah manusia yang melanggar sunnatullah yang pertama itu. Malahan manusia boleh patuh dengan puas hati. Di sini manusia merasa selamat menerima sunnatullah yang bersifat karhan.
Manusia berpuas hati menerima peraturan itu. Manusia mengakui siapa yang melanggar sunnatullah itu, mereka pasti rosak binasa. Ertinya mematuhi peraturan yang bersifat karhan itu, ia sangat menyelamatkan dan menguntungkan manusia. Bagaimanapun, manusia payah mahu menerima sunnatullah yang kedua iaitu yang bersifat sukarela (tau'an). Termasuklah sebahagian besar umat Islam di dunia, di akhir zaman ini. Allah Taala membenarkan manusia untuk memilih menerima atau menolak sunnatullah yang bersifat tau'an ini tetapi risikonya tetap ada bahkan lebih besar lagi. Sama ada yang akan berlaku di dunia, betapalah yang akan ditimpakan di Akhirat kelak. Umat Islam sendiri merasa malu untuk menerimanya, ragu melaksanakannya, takut tidak maju, takut huru-hara, malu dengan yang bukan Islam. Ia dianggap ketinggalan zaman dan sudah tidak sesuai lagi.
"Sekarang zaman sains dan teknologi,zaman IT canggih, bukan zaman unta."
Begitulah umat Islam sendiri dengan penuh angkuh dan sombong menolaknya.
Bahkan benci dan prejudis terhadap pejuang-pejuang yang hendak menegakkan sunnatullah kedua yang bersifat tau'an ini. Ramai manusia yang menolak, termasuklah sebahagian besar umat Islam, kerana apabila menolak sunnatullah yang kedua ini risikonya lambat. Kebinasaan dan kerosakan tidak terus berlaku di waktu itu. Ianya lambat berlaku. Adakalanya selepas sepuluh tahun, lima belas tahun atau dua puluh tahun. Sehinggakan apabila risiko dan kerosakan menimpa, di waktu itu mereka sudah tidak dapat kaitkan lagi ia dengan perlanggaran dan penolakan sunnatullah yang dilakukan sejak bertahun-tahun yang lalu.
Lantaran itu kalau ada orang atau golongan yang sedar, memberitahu kerosakan moral, jenayah, perpecahan dan lain-lain lagiy ang berlaku sekarang ini disebabkan kita sejak dahulu telah melanggar sunnatullah, mereka akan menolaknya. Bahkan marah dan bermusuh pula dengan orang itu. Mereka tidak boleh hendak mengaitkan gejala sosial yang berlaku, yang telah merosakkan masyarakat hari ini dengan kesalahan mereka menolak hukum atau sunnatullah itu.
Sebagai contoh, keruntuhan akhlak dan gejala tidak sihat yang berlaku di dalam masyarakat sekarang seperti bohsia,bohjan, budaya lepak, vandalisme, rompak, samun, rasuah, krisis rumah tangga dan sebagainya itu adalah akibat dari apa yang kita telah lakukan sejak puluhan tahun yang lalu. Ianya berlaku apabila sistem pendidikan tidak mengikut syariat Allah, sistem ekonomi berdasarkan kapitalisme, perlembagaan negara bertentangan dengan sunnatullah iaitu tidak mengikut Al Quran dan Hadis, masyarakat kita tidak dihalang daripada pergaulan bebas dan media massa yang tidak dikawal daripada memaparkan apa yang dilarang oleh Allah seperti mempamerkan gambar-gambar lucah yang merangsang nafsu. 
Jadi, gejala sosial yang berlaku adalah buah dari pokok yang sudah lama kita tanam.Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa sunnatullah yang kedua ini yang bersifat tau'an, jangan dilanggar. Kalau dilanggar tetap memudarat dan merosakkan masyarakat manusia tetapi memakan masa yang panjang baru nampak risikonya.
Setelah lama barulah terlihat kesannya. Sama ada sunnatullah yang pertama mahupun yang kedua,yang bersifat karhan mahupun yang bersifat tau'an, kalau dilanggar juga kita akan binasa. Hidup kita akan huru-hara. Masyarakat kita akan pincang. Kebahagiaan kita akan tercabar dan keharmonian kita akan hilang. Cuma pelanggaran yang pertama cepat kebinasaannya tetapi pelanggaran yang kedua lambat. Itu sahaja bezanya.
Justeru itu kalau didapati di dalam masyarakat kita berbagai-bagai jenayah, kerosakan akhlak, krisis, bahkan bencana alam,rujuk cepatlah kepada Allah Taala. Jangan lengah-lengah lagi.Muhasabah diri dan sistem yang kita bangunkan. Ada atau tidak pelanggaran sunnatullah itu. Kalau didapati ada pelanggaran, kenalah perbetulkanTukar segera dengan sunnatullah, kemudian memohon ampun sebanyak-banyaknya kepada-Nya sebelum Allah Taala menimpakan balasan dan hukuman yang lebih berat dan teruk lagi.

Monday, 1 November 2010

BERJALAN - JALAN


Setiap hari kita menggunakan kaki untuk berjalan. Ke kafeteria, ke bilik kuliah, ke perhentian bas, ke pejabat, ke pasar malam, ke masjid dan pelbagai lagi.
Berjalan kaki merupakan perkara yang amat lazim sehingga saya yakin hanya sedikit di antara kita yang pernah terfikir, wujudkah sebarang tunjuk ajar dan bimbingan Islam tentang hukum dan adab berjalan?
Tentu saja ada. Maka, saya ingin berkongsi kepada para pembaca sekalian hukum dan adab berjalan yang telah digariskan oleh Islam.


01.Menjauhi Sikap Sombong


Apabila berjalan, jauhilah sikap sombong. Sikap buruk ini boleh timbul kerana beberapa sebab, seperti merasakan diri sendiri hebat, bangga dengan fesyen pakaian dan aksesori yang berjenama lagi terkini, bangga diri sendiri bahawa dialah yang paling cantik lagi ramping dan pelbagai lagi.


Sikap sombong ini diterjemahkan kepada gaya berjalan yang tertentu, atau mungkin saja gaya yang biasa tetapi hati yang angkuh, muka yang memandang ke atas, mata yang menjeling ke kiri-kanan dan sebagainya.


Sikap seperti ini hukumnya dilarang oleh Islam. Alllah SWT berfirman:


"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri". [Surah Luqman, ayat 18].


Dalam ayat yang lain Allah SWT memerintahkan:


"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." [Surah al-Isra', ayat 37].


Jika kita menyalahi perintah ini, yakni tetap berjalan dengan berlagak sombong, Allah meneruskan:


"Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu." [Surah al-Isra', ayat 38].


Sementara itu Rasulullah SAW pula mengingatkan:


"Ketika seorang lelaki berjalan dengan memakai pakaian yang membuat dirinya ujub, rambutnya disikat rapi, tiba-tiba dia ditelan oleh bumi dan meronta hingga Hari Kiamat" [Sahih al-Bukhari, no: 5789].


Oleh itu berjalanlah dengan sikap dan gaya yang serba merendah diri. Ini adalah sikap yang mulia kerana: "...tidaklah seseorang bersifat rendah diri kerana Allah melainkan Allah menaikkan darjatnya." [Shahih Muslim, no: 2588]


02.Berjalan Dengan Bertenaga.


Para sahabat menerangkan, apabila Rasulullah berjalan, baginda berjalan dengan langkah yang sedikit laju, seolah-olah sedang turun bukit padahal permukaan adalah mendatar.


Cara berjalan seperti ini memberi gambaran bahawa baginda orang yang bertenaga, bersemangat, bermotivasi dan berani. Malah cara berjalan seperti ini juga secara tidak langsung merupakan senaman yang baik untuk semua organ dan anggota badan.


'Ali bin Abi Thalib menerangkan:


"Apabila baginda (Rasulullah) berjalan, maka baginda condong ke hadapan seolah-olah sedang turun ke tempat yang lebih rendah. Aku tidak pernah melihat ada orang yang seperti baginda baik sebelum mahupun sesudah ini." [Shahih Sunan al-Tarmizi, no: 3637]


Abu Ihsan al-Atsari menjelaskan:


"Nabi SAW apabila berjalan, baginda berjalan dengan tegar. Maksudnya baginda mengangkat kedua-dua kakinya di atas tanah kerana tegarnya baginda berjalan, seakan-akan baginda tertumpu kepada pangkal telapak kakinya.


Gaya jalan seperti ini sesuai dengan roh islam kerana padanya nampak kekuatan seorang muslim di hadapan manusia (lain).


Seorang mukmin yang lebih kuat lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah" [Panduan Amal Sehari Semalam, ms. 292]


Ada sebahagian kita yang apabila berjalan, mengheret selipat, sandal atau kasutnya di atas permukaan sehingga mengeluarkan bunyi.


Seolah-olah terdapat beban beberpa kilogram di atas kedua-dua kaki sehingga tidak mampu di angkat ketika membuka langkah berjalan.


Cara berjalan seperti ini menggambarkan orang yang malas, tidak bersemangat, tidak bermotivasi lagi lemah. Tentu saja ia bukan merupakan cara berjalan kita muslimin dan muslimat.


03.Sesekali Tidak Beralas Kaki.


Islam menganjurkan kita untuk sekali sekala berjalan tanpa memakai apa-apa. Tujuannya ialah untuk mengingatkan kita kepada orang yang susah dan bersyukur atas nikmat alas kaki yang sedia dimiliki.


Bahkan adakalanya bukan sekadar satu alas kaki tetapi pelbagai bilangan dan jenama merangkumi kasut, sandal dan selipar.


Justeru sekali-sekala "berkaki-ayam" dapat merendahkan diri, mensederhanakan gaya hidup dan mengingatkan kita kepada orang yang sememangnya tidak memiliki apa-apa alas kaki.


Fudhalah bin Ubaid menerangkan:


"Nabi SAW memerintahkan kami untuk tidak memakai alas kaki sekali-sekala." [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4160]


04.Muslimat Berjalan Di Tepi.


Di antara adab Islam ialah wanita , yakni para muslimat adalah berjalan di tepi lorong. Adab yang sopan lagi mulia ini mampu mengelakkan daripada berlaku pelanggaran, pergeseran, percampuran atau pemandangan dari kaum lelaki yang lazimnya berjalan di tengan lorong.


Rasulullah SAW berpesan:


"Bahagian tengah lorong bukan untuk kaum wanita". [Shahih al-Jami' al-Shagheir, no: 5425]