Saturday, 4 June 2011

Islam Bukan Sains Dan Sains Bukan Islam


Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan ajaran Islam.
Al-Quran Sebagai Sumber Inspirasi
Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadankannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.
Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini.
Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, 'ratq' bermaksud 'bercantum' dan fataq yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan'.
Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun.
Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.
Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.
Pembaca Pasif
Sebenarnya, umat Islam adalah pembaca-pembaca yang pasif walaupun ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mengajak mereka untuk berfikir secara kritis dan inovatif.
Sebagai contoh, teori letupan agung telah berada di dalam dada Al-Quran selama lebih daripada 1400 tahun tetapi tiada seorang pun umat Islam yang menyedari akan tujuan sebenar ayat tersebut.
Surah ini sudah dibaca oleh berjuta-juta umat Islam dari dulu sehingga sekarang tetapi tiada seorang pun yang berhenti sejenak dari bacaan mereka dan merenung dengan kritis maksud di sebaliknya. Kemudian dengan sabarnya menunggu waktu malam untuk melihat langit di atasnya untuk memerhati apakah ayat itu cuba menyampaikan sesuatu berkenaan langit dan bumi. Mungkin dulu ianya satu. Selepas membuat pemerhatian dan mendapat keyakinan bahawa langit dan bumi mungkin pada suatu masa dahulu bercantum, mulai mencipta radas-radas dan alat-alatan saintifik untuk membuktikan pemerhatiannya sekaligus membenarkan ayat-ayat-Nya.
Tugasan ini mungkin rumit dan meletihkan tetapi ianya juga salah satu wadah jihad untuk sarjana-sarjana Islam. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah hampir kesemua sarjana dan pemikir Islam kontemporari hanya menunggu 'durian runtuh' dan menikmati hasil penat lelah pemikir-pemikir yang mencipta penemuan tersebut.
Jika kita membilang sudah berapa banyak penemuan sains yang sepadan dengan dalil-dalil Al-Quran yang dibaca oleh Muslim setiap hari, mungkin sudah ramai penerima hadiah Nobel terdiri daripada umat Islam dan bukannya orang Yahudi.
Di dalam artikel ini, saya akan cuba memperkenalkan cara untuk memanfaatkan kaedah-kaedah sains untuk menyelesaikan permasalahan umat Islam masa kini. Mungkin ada sarjana-sarjana Islam akan membantah kerana Islam tidak boleh di'sains'kan sepertimana ilmu laduni (ilmu yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada manusia). Dalam erti kata lain, Islam tidak boleh diukur oleh radas-radas dan alat-alat saintifik.
Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat mengukur iaitu ilmu Fikah. Ilmu fikah menyerupai ilmu Fizik di dalam sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal. Ini bermakna Fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.
Menentukan Arah Kiblat
Kebanyakkan saudara baru selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah dengan mengunakan peta Mercator, kemudian letakkan satu hujung pembaris ke arah si pencari berdiri dan satu hujung pembaris lagi pada arah Mekah, buat satu garisan menggunakan pen dan itulah arah kiblat.
Ramai juga muslim menggunakan konsep bulatan agung (Great Circle concept) yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III, seorang ahli matematik.
Satu kaedah bergeometri juga diperkenalkan dengan menggunakan ukuran darjah satu sudut di antara utara dan kedudukan seseorang kearah Kaabah. Sudut itu dipanggil azimuth, daripada perkataan Arab samt yang bermakna arah.
Walaubagaimanapun, permasalahan arah kiblat kebanyakkan diselesaikan oleh mereka yang dilahirkan Muslim lebih bersifat santai dan boleh dibahagikan kepada dua kategori; mengikut cara tradisi dan menggunakan kaedah bermatematik.
Kompas kiblat sebenarnya adalah evolusi daripada kaedah bermatematik.
Kaedah tradisi termasuklah, "Jika anda boleh melihat Kaabah, maka itulah arah kiblat' atau 'Jika anda berada di Mekah, ikut arah di mana penduduk asal itu menghadap'.
Tetapi masalah menjadi semakin rumit apabila seseorang Muslim itu tidak tinggal di Mekah. Maka pelbagai petua dicipta seperti mengikut arah angin tertentu atau teruskan solat tanpa mengetahui arah kiblat kerana empat dinding Kaabah mengala ke semua arah.
Kemudian kaedah bermatematik dicipta, atau kuasi-matematik. Secara sejarahnya, masalah paling utama dalam menggunakan kaedah bermatematik adalah tiada ilmuwan boleh menentukan longitude sesuatu tempat secara tepat. Maka, kaedah bermatematik adalah paling berkesan tetapi dilemahkan dengan fakor geografi. Oleh kerana itu, walaupun kaedah bermatematik lebih maju dan tepat, tetapi keputusannya  -- mengikut penemuan terkini – tersasar.
Ada usaha fuqaha beraliran sekular menggunakan pengiraan trigonometri. Ianya dikira menggunakan lokasi koordinat seorang muslim, koordinat Kaabah (atau Mekah), dan satu formula trigonometri bersfera mudah untuk menentukan bulatan agung yang di antaranya menggunakan kaedah trigonometri seperti sine dan cosines dan kadangkala menggunakan sektor kuadran tangents dan cotangents.
Perpecahan Umat Islam
Sepanjang sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan masa mereka untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti astrolabe, di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk pelayaran dan penjelajahan. Perlu diingati, kiblat pertama umat Islam sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jeruselam dan umat terdahulu berkongsi arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah kiblat telah berubah selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad SAW. 
Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat menjadi urat nadi umat Islam.
Persoalan arah kiblat menjadi mudah di negara di mana penduduknya adalah majoriti Islam kerana telah dijawab beratus tahun dahulu oleh nenek moyang mereka yang juga beragama Islam. Tetapi oleh kerana proses mobiliti dan penyebaran populasi yang dibawa oleh sejarah pengkolonian, pembaharuan oleh era globasisi dan penghijrahan umat Islam secara besar-besaran telah mencipta satu keperluan untuk menentukan arah kiblat yang lebih tepat di negara-negara yang mempunyai Islam minoriti seperi Amerika, Australia dan New Zealand.
Contohnya,kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit, Amerika, ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada tahun 1978 seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah mencadangkan bahawa arah kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut dan cadangan ini diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.
Malangnya, permasalahan arah kiblat menjadi semakin rumit apabila melibatkan perbezaan mazhab dan pada akhirnya umat Islam berpecah-belah.
Lebih memalukan, di dalam era matematik, geografi dan komputer ketika sains pelayaran, pengiraan dan Cartography mencapai kemuncaknya, dan dengan penciptaan teknologi terkini, orang bukan Islam tidak menemui masalah di dalam mencari arah untuk belayar sehingga ke kutub utara dan mengembara hingga ke bulan, walhal umat Islam masih tidak mempunyai persetujuan di dalam isu yang kecil ini.
Diceritakan cara menentukan arah kiblat bagi masjid baru di Tierra del Fuego adalah dengan memanggil seorang Fuqaha dari Algeria dan mendengar pendapatnya dan apabila masjid itu siap dibina seorang lagi Fuqaha ternama Islam melawat masjid tersebut telah memberi pendapat yang berbeza berkenaan arah kiblat.
Fatwa secara subjektif ini telah membuatkan Islam amat sukar diterima di benua Amerika. Kaedah memberi fatwa secara subjektif ini juga telah mencipta jurang baru sesama umat Islam dan akhirnya mengakibatkan perpecahan. Sewajarnya, kaedah memberi fatwa yang bertunjangkan ijtihad bersandarkan dengan fakta yang lebih bersifat saintifik supaya mudah diterima akal.
Projek Satu Arah Kiblat
Isu ini sebolehnya tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam terutamanya sarjana-sarjana Islam. Oleh itu, satu projek yang dinamakaan 'Satu arah kiblat' dicipta oleh saya dengan khidmat nasihat oleh seorang ulama terkenal UK telah dilancarkan.
Tujuan utama projek ini adalah untuk menentukan arah kiblat secara saintifik demi menyatukan umat Islam di samping memberi satu kaedah baru kepada dunia Fikah berkenaan ijtihad.
Seperti yang telah dibincangkan, terdapat dua cara menentukan arah kiblat iaitu (1) cara tradisi dan (2) kaedah bermatematik, tetapi kini kami memperkenalkan kaedah ketiga iaitu secara kaedah saintifik. Kaedah ketiga ini amat mudah iaitu dengan memerhatikan arah piring satelit yang boleh didapati di mana-mana sahaja.
Sebagai bukti, jika anda berada di Malaysia, cuba perhatikan arah piring satelit Astro dan arah mana-mana masjid yang berdekatan. Sepanjang pemerhatian saya, hampir kesemua piring satelit Astro menghadap ke arah kiblat dengan tepat. Ketepatan arah kiblat menggunakan arah piring satelit adalah amat tepat dan terbukti apabila diukur ketepatannya dengan kompas kiblat.
Untuk memastikan bahawa kaedah ini boleh diterima pakai di seluruh dunia, kami akan mengumpul data arah piring satelit di segenap benua. Dengan data yang akan dikumpul, maka kesimpulan dapat dibuat secara statistik sama ada kedudukan piring satelit di seluruh dunia kesemuanya menghadap Kaabah.
Jika kesimpulan berstatistik mendapati kesemua piring satelit di seluruh dunia menghadap Kaabah maka satu alat baru dapat dicipta dengan memahami lebih lanjut fenomena ini dan sekaligus meredakan perselisihan di antara umat Islam masa kini.
Seperti dinyatakan, kompas kiblat datangnya daripada evolusi kaedah bermatematik yang bergantung kepada ketepatan koordinat sesuatu lokasi dan seperti yang dibincangkan masih lagi diragui ketepatannya.
Oleh kerana itu, proses membina masjid baru di benua Amerika masih lagi menggunakan kaedah tradisi dengan pedoman seorang Fuqaha yang selalunya bersifat subjektif.
Di dalam kesempatan ini, saya ingin memohon kerjasama semua Muslimin dan Muslimat supaya dapat berganding bahu untuk membantu saya melaksanakan projek ini. Kami dalam peringkat membina laman web sebagai alat untuk pengumpulan data.
Tujuan pembinaan laman web ini adalah untuk meminta kerjasama individu Muslim memberi arah mana-mana piring satelit yang mereka jumpai dengan pengesahan daripada arah masjid yang berdekatan dan juga daripada kompas kiblat.
Walaupun kompas kiblat kurang tepat tetapi penggunaannya masih lagi boleh diterima pakai pada peringkat pengumpulan data. Semoga projek ini dapat menjadi satu nafas baru kepada penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

Kehilangan Arah Untuk Pulang

alt
Sebelum kedatangan agama samawi, manusia sebelumnya berpegang kepada agama adalah
 disebabkan perasaan takut seperti takut kelaparan, takut kepada binatang buas, takut kepada kesakitan atau kematian.
Pada tahap ini, pemahaman berkenaan perhubungan sebab-akibat masih belum sempurna sifatnya, dan akibatnya dalam minda manusia terdahulu tercipta gambaran-gambaran makhluk-makhluk hebat yang difikirkan boleh menyelamatkan mereka daripada bahaya-bahaya tersebut.
Untuk menenangkan makhluk-makhluk hebat ini mereka menawarkan pelbagai jenis korban termasuklah korban manusia seperti wanita atau bayi. Mereka yang tidak beragama mempunyai moral yang lebih teruk seperti Firaun yang sanggup membunuh kesemua bayi Bani Isreal demi menyelamatkan kerajaannya atau melayan manusia seperti hamba seperti Maharaja China Qin Shi Huang yang mengerahkan manusia membina tembok yang luar biasa panjangnya dan mengorbankan banyak nyawa demi keutuhan kerajaannya.
Kedatangan agama samawi telah membebaskan manusia daripada agama ketakutan kepada agama moral. Genius-genius dari agama samawi seperti Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad saw. telah datang dan membawa bersama mereka obor untuk menghuraikan konflik di antara kepercayaan berasaskan ilmu dan kepercayaan membuta tuli.

Malaikat Menurut Perspektif Sains


Salah satu Rukun Iman adalah percaya kepada Malaikat. 
altNamun begitu, pernahkah kita terfikir bagaimana caranya kita mendatangkan kepercayaan kepada Malaikat? Keimanan tidak datang secara bergolek. Keimanan kepada Allah boleh datang dengan meneliti, menghayati dan memikirkan tentang ciptaan-Nya di alam ini. Keimanan kepada Nabi boleh datang dengan mukjizat-mukjizat yang dikurniakan Allah kepada mereka. Tapi bagaimana pula keimanan kepada Malaikat? Apakah tanda-tanda kewujudan Malaikat?
Sebelum menjelaskan tentang kewujudan Malaikat, seseorang itu perlu tahu sifat-sifat Malaikat itu sendiri. Al-Qur'an dan Hadis banyak menjelaskan kepada kita tentang sifat-sifat Malaikat.

Monday, 6 December 2010

Manisnya Tahajud


"Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, disisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.
alt
Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.
Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Al Fudhail bin Iyadh, "Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!" Abu Sulaiman pula berkata, "Jikalau tidaklah kerana malam nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini."
Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.
Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.
Sabda Rasulullah bermaksud:
"Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka."
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur."
Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hamba-Nya yang menghidupkan malam.
Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allahs.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas."
Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla,menutup segala dosamenghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa."

Sunday, 14 November 2010

Persis Sungai Yang Mengalir


Mataku tidak berkerlip memandang ke arah sungai yang tenang. Dari jendela kamar lantai rumahku, kelihatan sungainya begitu tenang. Kadang-kadang burung yang kecil hinggap di sana dan terbang kembali entah ke mana arah tujunya.
Sering kali aku tertanya-tanya apa yang ada di benak fikiran burung-burung itu? Kadang-kadang terbang sekawan dan kadang-kadang berseorangan. Mungkin tidak ada apa yang difikirkan hanya terbang dan makan bagi meneruskan kehidupan. Mereka sering ke sungai itu dan sungai itu memberikan mereka kehidupan.
Alunan Hidupnya
Sungai yang sudah lama meneruskan kehidupannya di sana. Dan sudah banyak riwayat tertulis di atasnya. Sehingga kini sungai itu masih lagi mengalir tanpa henti tidak kira ke mana haluannya, dan ia dilihat begitu deras. Aku tidak pernah ke sungai, dan persahabatan kami hanyalah dari jarak yang jauh. Sering aku mendengar sungai itu mengeluarkan bunyi. Seolah manusia yang sedang berkata-kata.
"Pesanan apa yang hendak kusampaikan padamu sungai? Nyata aku tidak punya apa-apa pesan yang ingin kutitipkan. Aku cuma merasakan diriku sama sepertimu, mengalir tenang di atas pandanganku. Pesanan apa yang kau ingin aku sampaikan? Kau sungai seperti diriku yang mengalir di alur kita masing-masing. Bezanya aku di sini hanya mengalir di sebatang jalan ini; jalan sungai. Sudah ratusan tahun aku menjalani alur ini."
Umpama Sungai yang Mengalir
Tamsilannya adalah seperti sungai, jika masih ada antara kita kecewa, putus asa dan sedikit berduka masih belum dapat apa yang terbaik dan yang diimpikan, jangan berkecil hati. Jangan cepat melambai sapu tangan putih lantas mengaku kalah. Kadang-kadang kita akan diuji sama ada kita benar-benar serius terhadap apa yang kita inginkan.
Ujian akan datang dalam pelbagai bentuk halangan, rintangan dan hal-hal yang membuatkan kita tidak berdaya lagi. Menyerah adalah pilihan yang mudah yang boleh diputuskan oleh sesiapa pun. Tapi, menyerah tanpa melakukan apa-apa tidak akan membuatkan kita jauh lebih baik.
Jangan Berbalik Arah
Saat api padam, mungkin itu adalah saat kita menyatakan kita ingin menyerah kalah. Mari kita belajar dan lihat dari air sungai yang mengalir. Air terus mengalir ke satu arah dan tidak peduli apa yang terjadi. Walau ada sebesar batu yang wujud di tengah-tengah air tidak akan berhenti. Sungai yang deras tidak pernah terfikir untuk berbalik arah. Tidak pernah berhenti untuk mengalir hanya kerana beberapa panahan di hadapannya.
Kita juga boleh belajar daripada prinsip air sungai yang mengalir. Maju ke hadapan demi impian yang ingin dikecapi. Air juga tidak pernah gerun apabila berada di tepi air terjun. Mengalir dan terus mengalir dan semangat yang tidak pernah membuat kita gentar. Semoga air yang mengalir akan mengubah diri kita dan persis yang mudah menyerah kalah. Namun percayalah You don't know what the future holds, but you know Who holds it.